Siri ‘Like the banana tree at the gate’ (2016) oleh Yee I-Lann memanfaatkan medium digital dan tekstil secara kreatif dalam penyampaian ‘naratif sosiopolitik’. Simboliknya, karya figuratif tersebut bertujuan untuk menzahirkan simbolik wanita dalam sejarah dan identiti melalui penampilan imej manusia serta objek budaya yang nyata. Siri ini juga merupakan anjakan paradigma terhadap kedaulatan melalui naratif tempatan.
Melalui naratif, ‘Like the Banana Tree at the gate’ (2016) I-lann mendokumentasi impak penjajahan secara kritikal terhadap sistem politik, kekuasaan, dan hierarki terhadap hak asasi manusia. Secara dasarnya, karya ini diterjemahkan sebagai satu provokasi intelektual dan visual berpaksikan naratif tempatan Nusantara. Melalui sudut naratif sosialpolitik, pokok pisang diterjemahkan sebagai metafora yang mencerminkan ‘kebijaksanaan’ pemimpin serta rahsia kekayaan masyarakat Nusantara yang tersirat didalamnya membuktikan bahawa naratif tersebut bukan sekadar peristiwa lalu, tetapi sebuah nadi yang memelihara kedaulatan. Manipulasi imej dan objek dalam karya ini bukan sekadar eksperimen visual malah mengupas rekonstruksi identiti masyarakat yang sering terpendam di sebalik bayang-bayang kolonialisme.
Keuniknya karya ini, terletak pada simbolisme ‘pontianak’ yang menjadi gambaran dalam mitos tempatan. Sosok wanita yang berambut panjang yang di manifestasikan sebagai simbol autonomi dan kebebasan identiti serta bentuk resistansi terhadap naratif kolonial. Secara tidak langsung, pendekatan ini memperkukuhkan metafora pokok pisang yang menzahirkan identiti kebijaksanaan dalam menentang penjajahan. Ibu digambarkan sebagai simbol yang menjadi nadi penggerak di sebalik lembaran perjuangan tanah air, malah peranannya melangkaui ideologi feminisme yang sering dipandang skeptikal oleh sesetengah masyarakat Nusantara. Karya berprestij ini telah dipamerkan secara meluas di peringkat antarabangsa, antaranya ialah pameran “Body/ Play/ Politics” di Yokohama Museum of Art, Jepun (2016).