Siri karya ‘Hikayat Inderaputra-Burung Tukang Pandai Mendarat, Burung Buatan Manusia’ (2013), bukan hanya sekadar sebuah eksplorasi estetik, tetapi diiktiraf sebuah menifestasi visual yang sarat dengan mesej naratif terhadap pencapaian perbandingan visual kesusasteraan. Siri ini merupakan kesinambungan kepada siri ‘Inderaputra’ (1978) dan juga siri ‘Mijraj’ (2008). Siri ini menjadi titik penting dalam sejarah seni di Malaysia kerana keberanian beliau merevolusikan sastera klasik melayu ke arah moden. Penerokaan siri dalam karya terbahagi kepada tiga peralihan fasa utama dengan persembahan teknik yang dinamik melalui gaya dan evolusi teknik.
Siri ‘Hikayat Inderaputra-Burung Tukang Pandai Mendarat, Burung Buatan Manusia’ (2013) ini menjadi Medan pengantara Anuar Rashid dalam menginterpretasikan konsep pertembungan moden antara tradisi dan modeniti sehingga menyuntik fenomena baru dalam visual moden kontemporari. Dari sudut metafora, karya ini menggambarkan burung buatan manusia dimetaforakan sebagai kapal terbang yang menakluk ruang angkasa. Karya ini merupakan satu bentuk kesinambungan naratif terdahulu melalui siri ‘Inderaputra’. Simboliknya, karya ini menggambarkan kehebatan penguasaan manusia dalam daya cipta dan kemajuan tamadun dalam merealisasikan dalam sesuatu impian dimasa purba. Suasana kosmik yang dramatik, mencerminkan nilai warisan metafizik secara realiti dan fantasi yang merentasi sempadan dunia purba dan moden.
Dari aspek formalistik, penggunaan perspektif mewujudkan ruang yang jelas pada karya melalui keluasan ruang yang infiniti antara kedudukan kapal terbang dan pemandangan bandar yang mengecil. Kesan dramatik dapat dilihat melalui dominasi warna biru tua dan hitam (ruang angkasa) dan warna kontras yang berani pada kesan cahaya terang. Keberadaan kapal terbang ditengah-tengah kanvas dan pancaran cahaya yang keluar menimbulkan penegasan pada karya. Ikoniknya, penggunaan sapuan berus yang dinamik pada bahagian awan mewujudkan kesan pergerakan.